Friday, April 07, 2006

Kegagalan sistem bas di Pulau Pinang

Kenyataan Media oleh Wong Hon Wai, Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang pada 6hb April 2006 di Pulau Pinang.

Kegagalan sistem pengangkutan bas di Pulau Pinang: MPPP dan Kerajaan Negeri harus bertanggungjawab sepenuhnya

---------------------------------------------------------------------------------------------

Sistem bas baru yang dilancarkan di Pulau Pinang pada 1hb April 2006 merupakan satu kegagalan yang amat memalukan. Penumpang-penumpang bas terkeliru dengan sistem yang baru dan terpaksa menunggu lama sebelum sampai ke destinasi mereka. Tambahan pula, tambang bas telah naik di beberapa destinasi dan ini sememangnya membebankan rakyat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, telah menyatakan dalam media seperti yang dilaporkan pada 6hb April 2006, bahawa tugas Kerajaan Negeri hanyalah menyediakan rangka kerja sistem bas yang baru dan bukan untuk melaksanakan dan menguatkuasakan rangka kerja tersebut. Dr Koh telah merujuk kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perniagaan (Commercial Vehicles Licensing Board, CVLB), sebuah badan statutori Persekutuan yang menguruskan pengeluaran lessen bas, sebagai badan yang bertanggungjawab.

Saya ingin mengingatkan Dr Koh bahawa adalah menjadi tugas Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai kerajaan tempatan untuk memberi perkhidmatan pengangkutan awam kepada pengguna di kawasan di bawah pentadbiran MPPP.

Seksyen 101(o) Akta Kerajaan Tempatan 1976 telah jelas menyatakan bahawa, Kerajaan Tempatan adalah bertanggungjawab terhadap memastikan perkhidmatan pengangkutan awam dalam kawasan pentadbiran kerajaan tempatan dan juga kawasan sekitarnya.

Seksyen berkenaan berbunyi:
“The local authority shall have power subject to the provisions of any law relating to road traffic, to establish, acquire, maintain and carry on within or without the local authority area public transport services”

Harus diingatkan bahawa Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perniagaaan 1987 hanyalah satu undang-undang berkenaan pelesenan dan bukan satu undang-undang berkenaan pengangkutan jalanraya seperti yang diertikan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Sistem pengangkutan bas di Pulau Pinang adalah antara yang mundur berbanding dengan kota-kota antarabangsa yang maju di Europe, Singapura, Australia dan New Zealand. Ini bukan sahaja menjejaskan kegiatan harian dan produktivi penduduk Pulau Pinang malahan telah meninggalkan pengalaman yang tidak selesa kepada pelancong-pelancong asing.

MPPP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak boleh melepaskan tanggungjawab mereka dalam menyediakan satu sistem pengangkutan awam yang cekap kepada pengguna.

2 comments:

democracy4now said...

If CM Koh said it is not state govt's job to implement public transport -then don't promise to improve public transport for Penang lah. Koh has been making this promise from his 1st election manefesto. Shame on him !

Keep up your interesting blog Hon Wai ! If you want to speak to the bloggers feel free to call me to set up a podcast -free of charge! For previous episodes go to http://secrets-broadcaster.blogspot.com Your comments welcome! Regards

Wong Hon Wai said...

ong, keep up the good work at http://www.malvu.org and your other associate blogs.